Saksi dengar letupan dua kali

Saksi dengar letupan dua kali

BUTTERWORTH,. “Saya terdengar dua bunyi letupan kuat sebelum nampak api mula marak dalam kawasan landasan TUDM,” kata seorang saksi kejadian pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas berhampiran di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, di sini malam tadi.

Mastura Mohammad Nordin, 44, pemilik kedai makan di Kampung Benggali, Sungai Puyu berkata beliau terdengar dua letupan kuat, diikuti api yang marak pada pesawat tersebut setelah terhempas di kawasan landasan berkenaan.

“Masa mula-mula kejadian dalam pukul 10 (malam) lebih, saya terdengar bunyi letupan kuat…dua kali juga (bunyi letupan), kemudian diikuti api yang marak selepas pesawat terhempas.

“Selepas terhempas, kami terus meluru ke pagar dan lihat api begitu marak dan berharap tiada apa-apa yang serius menimpa juruterbang atau orang sekeliling,” katanya yang kedai makannya itu terletak kira-kira 100 meter dari Pangkalan Udara TUDM, kepada pemberita di sini.

Dalam kejadian kira-kira 10.07 malam itu, seorang juruterbang TUDM maut, manakala seorang lagi cedera apabila pesawat Hawk yang sedang dalam latihan penerbangan malam, terlibat dalam kemalangan.

TUDM dalam satu kenyataan menyatakan kedua-dua juruterbang itu dikenal pasti sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy dan Mejar Mohd Fareez Omar.

Menurut kenyataan itu, Mohamad Affendi meninggal dunia dalam nahas itu, manakala Mohd Fareez yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Seberang Jaya mendapati, anggota TUDM dan polis telah mula bersedia di perkarangan hospital sejak 1 pagi bagi menguruskan jenazah anggota yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Turut kelihatan di perkarangan hospital termasuk Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Asghar Khan Goriman Khan, menunggu jenazah Mohamad Affendi yang tiba di Jabatan Forensik pada jam kira-kira 2 pagi.

Difahamkan, pihak hospital akan menjalankan bedah siasat, awal pagi ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )