Saham FGV jadi tumpuan ekoran cadangan pengambilalihan oleh Felda

Saham FGV jadi tumpuan ekoran cadangan pengambilalihan oleh Felda

KUALA LUMPUR,. Saham-saham FGV Holdings Bhd menjadi tumpuan hari ini berikutan pengumuman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bercadang untuk mengambil alih FGV pada RM1.30 sesaham atau 2.3 peratus melebihi harga penutup RM1.27 pada Isnin.

Dagangan saham perladangan itu yang disambung pada pagi ini selepas digantung mulai jam 4.15 petang semalam, menyaksikan sahamnya susut dua sen kepada RM1.25 setakat jam 10 pagi ini.

Semalam, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata Felda akan meningkatkan pegangannya dalam FGV sebanyak 13.9 peratus kepada 35.12 peratus selain cadangan pengambilalihan pada RM1.30 sesaham.

Menurutnya, Felda telah memeterai perjanjian belian saham bersyarat dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd bagi pembelian 506.19 juta saham FGV pada jumlah kolektif RM658 juta atau RM1.30 sesaham.

Apabila cadangan pengambilalihan itu selesai, Felda berserta pihak yang berkepentingan sama (PAC) akan secara kolektif memegang lebih daripada 50 peratus saham-saham FGV.

Maybank IB adalah penasihat prinsipal Felda bagi cadangan-cadangan terbabit.

Sementara itu, dalam nota penyelidikannya, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menyifatkan langkah itu berkemungkinan cara berkesan untuk Felda menyatukan serta menstruktur semula aset-asetnya selain menjadi pilihan lebih murah berbanding tindakan membatalkan perjanjian pajakan tanah dengan FGV.

“Kami melihat ini sebagai ‘neutral’ untuk pemegang saham FGV,” katanya.

Ia turut mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap saham-saham FGV dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.30.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )