RUU Sumbangan Politik dirangka di peringkat Pusat, negeri agar lebih telus

RUU Sumbangan Politik dirangka di peringkat Pusat, negeri agar lebih telus

LUNDU (Sarawak): Inti pati Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik perlu dirangka di peringkat pusat dan negeri, agar penyaluran dana bagi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri adalah lebih telus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), telah diarahkan untuk memasukkan kewujudan pentadbiran yang mengawal selia sumbangan politik di setiap negeri, sebagai antara skop dan parameter dasar yang digariskan dalam rang undang-undang itu.

“GIACC telah merangka, tetapi apabila dibentang di peringkat Jemaah Menteri, mereka kata pihak negeri perlu juga diwujudkan pusatnya sendiri, kerana peringkat negeri berasingan dengan pusat. Saya dah ada garis masanya, jadi saya boleh meminta pegawai saya serta Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan perkara ini mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Maknanya kita tak mahu lagi dana ini disimpan atau disorok di tempat tertentu, kerana dana yang disumbang kepada pihak tertentu (perlu) melalui satu tabung yang ditadbir pihak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Regatta Batang Kayan di Tebingan Sungai Lundu, hari ini.

Wan Junaidi yakin rang undang-undang itu akan mendapat sokongan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang semasa ia dibentang di persidangan Dewan Rakyat November ini.
Dalam kenyataannya semalam, Wan Junaidi berkata sesi libat urus bersama wakil Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan diadakan pada 28 Sept ini di Parlimen, bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara dasar bagi Rang Undang-Undang Sumbangan Politik yang sedang digubal.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Santubong itu berkata kerajaan perlu menaik taraf kemudahan jalan raya berkembar di kawasan sempadan Sarawak-Indonesia susulan pembinaan ibu negara Indonesia baharu, Nusantara, yang terletak di Kalimantan Timur.

Katanya kemudahan jalan berkembar akan meningkatkan kemasukan pelancong dari negara jiran, sekali gus menyumbang kepada ekonomi warga tempatan.

“Perkara ini dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet kerajaan pusat baru-baru ini yang menggesa agar kerajaan meningkatkan jalan dual carriageway pergi ke sempadan (Malaysia-Indonesia), seperti di Tebedu dan Biawak dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )