RUU Antilompat Parti: Wan Junaidi optimis laporan Jawatankuasa Khas siap dalam masa sebulan

RUU Antilompat Parti: Wan Junaidi optimis laporan Jawatankuasa Khas siap dalam masa sebulan

KUALA LUMPUR,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar optimis Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyediakan penyata mengandungi cadangan rang undang-undang itu dalam tempoh sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu berkata ini kerana ia dianggotai pakar undang-undang yang berpengalaman namun beliau enggan mendedahkan sebarang perbincangan jawatankuasa berkenaan.

“Ini kerana tidak dibolehkan oleh Peraturan Dewan Rakyat itu sendiri melainkan laporan itu telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat, baru ia menjadi dokumen awam… barulah saya sebagai Pengerusi boleh mendedahkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Program Pemukiman Agensi di bawah Kluster Parlimen dan Undang-Undang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Wan Junaidi berkata mesyuarat pertama jawatankuasa itu, yang dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, berlangsung pada 15 April lepas dan beberapa siri mesyuarat lagi akan diadakan bermula esok.

Mengenai cadangan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof supaya jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen pembangkang agar bersifat berkecuali, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkannya untuk menjadi Pengerusi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan Perdana Menteri bersama pemimpin Pakatan Harapan dan wakil Ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat pada 11 April lepas.

Ditanya sama ada sidang khas Parlimen akan diadakan pada Jun, Wan Junaidi berkata kuasa memanggil sidang khas itu terletak pada Perdana Menteri.

Beliau turut menyasarkan rang undang-undang mengenai cadangan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta Skim Perkhidmatan Parlimen dan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan sendiri bagi Parlimen Malaysia dapat dibahas pada sesi sidang Parlimen Julai ini.

“Selaras dengan Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik, Transformasi Parlimen menjadi agenda utama saya,” katanya sambil menambah beliau telah membentangkan perkembangan mengenai cadangan pindaan undang-undang itu kepada Jemaah Menteri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )