Roziah Omar dilantik Presiden UniKL baharu

Roziah Omar dilantik Presiden UniKL baharu

KUALA LUMPUR,. Profesor Datuk Dr Roziah Omar dilantik sebagai Presiden Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai depan.

Pelantikan itu telah diumumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Azizah berkata, pelantikan beliau sebagai Presiden UniKL adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau yang pernah memegang beberapa jawatan utama sebelum ini sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangasa.

MARA yakin beliau akan dapat memacu kecemerlangan UniKL ke tahap yang lebih tinggi sekali gus memastikan visi untuk menjadi sebuah universiti keusahawanan teknikal terunggul dalam negara melalui kecemerlangan dalam penyelidikan, pendidikan, latihan, keusahawanan, konsultasi dan khidmat masyarakat tercapai.

“Saya yakin Presiden UniKL yang dilantik ini mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan sekali gus akan dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya serta dapat memperkukuhkan lagi kedudukan UniKL di dalam senarai antara universiti terbaik di Asia dan di dunia,” katanya.

Profesor Datuk Dr Roziah Omar merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang berpengalaman dalam menjalankan penyelidikan, penulisan dan advokasi dalam bidang pembangunan sosial dan kesejahteraan.

Bermula dari ijazah sarjana muda dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1980, beliau telah melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat di peringkat sarjana dan kedoktoran.

Pada tahun 1992, beliau telah dianugerahkan ijazah kedoktoran dari University of California, Berkeley, Amerika Syarikat. Selain itu beliau juga telah menghadiri kursus di Harvard University pada tahun 2003 dan Judge Business School, Cambridge University pada tahun 2014.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam bidang pendidikan seperti Timbalan Ketua Pengarah Institusi Pendidikan Swasta (IPTS) di Kementerian Pengajian Tinggi.

Selain itu juga, beliau turut memegang beberapa jawatan sebagai ahli lembaga pengarah universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI), Universiti Malaya (UM), Kolej-Poly Tech MARA (KPTM) dan lain-lain.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)