Rosmah kemuka 127 alasan ketepikan sabitan, hukuman kes rasuah projek hibrid solar

Rosmah kemuka 127 alasan ketepikan sabitan, hukuman kes rasuah projek hibrid solar

KUALA LUMPUR,. Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.

Berdasarkan 127 alasan dalam petisyen rayuan yang dikemukakan Rosmah selaku perayu, beliau antaranya mendakwa keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga tidak berturutan dengan prinsip undang-undang yang telah diputuskan di dalam kes-kes seperti itu sebelum ini.

Rosmah, 70, memfailkan petisyen rayuan bagi mengetepikan sabitan dah hukuman yang dijatuhkan terhadapnya menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan semalam.

Pada 1 September lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Dalam dokumen petisyen setebal 93 muka surat itu, Rosmah mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi juga adalah berpandukan kepada kesimpulan yang tidak tepat dan bercanggah dengan keterangan-keterangan yang nyata.

Menurut Rosmah, adalah mustahil untuk Hakim Mahkamah Tinggi merumuskan bahawa pembelaannya adalah penafian kosong, sedangkan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap beliau berkenaan wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas berjalur oren, telah diserahkan kepadanya atau sebaliknya.

“Apatah lagi, butler yang kononnya mengangkat dua beg galas berjalur oren tersebut tidak dipanggil memberi keterangan di mahkamah dan hal ini juga telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan ke atas saya,” katanya.

Rosmah mendakwa hakim itu juga tidak mengambil pertimbangan terhadap faktor-faktor yang membangkitkan keraguan munasabah ke atas keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21) Datuk Rizal Mansor bahawa wujud keraguan munasabah sama ada wang RM5 juta dalam dua beg bagasi dimasukkan ke dalam kenderaan Velfire atau Alphard.

Katanya, wujud keraguan munasabah apabila buku log yang mencatatkan kehadiran tetamu di Seri Perdana tidak dijadikan keterangan di mahkamah dan juga wujud keraguan apabila polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang berada di dalam kenderaan tersebut telah gagal dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Selain itu, Rosmah mendakwa hakim itu telah terkhilaf dan tersalah arah daripada segi undang-undang dan fakta serta gagal membuat rumusan yang betul di akhir kes pendakwaan sehingga membuat keputusan yang salah dan memerintahkannya untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Rosmah berkata hakim itu gagal membuat rumusan yang betul apabila menyatakan dalam penghakimannya bahawa pembelaan beliau membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diterima sebagai bukti kerana bekas perdana menteri itu tidak dipanggil memberikan keterangan.

Dalam pembelaan sebelum ini, Rosmah mendakwa beliau takut akan kemarahan Najib dan tidak sekali-kali cuba mempengaruhinya, apatah lagi memaksa atau menasihatinya berhubung perkara berkaitan hal ehwal kerajaan.

Dakwa Rosmah, hakikatnya Najib berada dalam senarai saksi pendakwaan yang mana pembelaan tidak mempunyai beban di bawah undang-undang untuk memanggil beliau (Najib) sebagai saksi.

Mahkamah Rayuan menetapkan 14 November untuk pengurusan kes rayuan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )