Ringkasan Eksekutif bagi Laporan EIA dibuka kepada orang awam bulan depan: Nik Nazmi

Ringkasan Eksekutif bagi Laporan EIA dibuka kepada orang awam bulan depan: Nik Nazmi

PUTRAJAYA,. Bermula Februari ini, untuk jangka masa pendek, orang awam boleh mengakses kesemua Ringkasan Eksekutif bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) menerusi laman web Perpustakaan Enviro Digital@JAS di pautan https://edl.doe.gov.my/.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memaparkan dan mengemas kini status keputusan Laporan EIA di laman JAS, bagaimanapun, akses adalah terhad kepada aktiviti di bawah Jadual Kedua, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 semasa tempoh pameran awam.

“Bagi menambah baik sistem penyampaian dalam penilaian laporan EIA, JAS telah mengambil inisiatif untuk membenarkan akses orang awam kepada Laporan EIA yang telah diluluskan.

“Dalam usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian Laporan EIA, JAS telah menggariskan dua fasa penambahbaikan akses EIA oleh orang awam, iaitu fasa jangka masa pendek dan jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata untuk fasa jangka masa panjang, JAS akan meneliti kebolehlaksanaan untuk membolehkan Laporan EIA dimuat turun daripada laman web, dengan mengambil kira keperluan peruntukan, penggubalan undang-undang dalam cadangan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling serta keupayaan fasiliti yang akan dinaik taraf.

Kementerian itu katanya turut mengalu-alukan pandangan orang awam bagi cadangan pembangunan tertentu semasa tempoh Pameran Awam Laporan EIA yang akan dimuat naik dari semasa ke semasa di laman web JAS.

Nik Nazmi berkata dengan adanya akses ini, pihaknya berharap tidak akan timbul sebarang keraguan terhadap Laporan EIA yang diluluskan JAS selain menggalakkan orang awam untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyumbang kepada pengurusan alam sekitar yang mampan.

Orang awam yang berminat untuk mengakses Laporan EIA secara keseluruhan boleh menghubungi Pejabat JAS Negeri atau Ibu Pejabat JAS.

Laporan EIA merupakan proses perancangan penting untuk mengawal kemerosotan alam sekitar dan memastikan aktiviti pembangunan dijalankan secara lestari.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )