Rinani kini pemilik sah KL City FC

Rinani kini pemilik sah KL City FC

KUALA LUMPUR,. Firma perunding kewangan, Rinani Group Berhad (Rinani) kini sah menjadi pemilik kelab Kuala Lumpur City FC (KL City FC) selepas memperoleh pegangan saham majoriti dalam Kuala Lumpur City Sdn Bhd.

Urusan perjanjian penjualan saham dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dimeterai secara rasmi antara Presiden (KLFA), Khalid Abdul Samad dan Pengarah Rinani, Azi Azerai semasa perlawanan Liga Super 2023 antara KL City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu.

Azri, dalam kenyataan semalam, berkata sebagai pemilik saham majoriti kelab itu, pihaknya akan berusaha memacu prestasi KL City dengan menumpukan kepada aspek kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan remaja.

“Selain aspek permainan, kami juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan aliran pendapatan KL City agar ia mampan dan terus mengekalkan kelab itu.

“Kami juga berusaha ke arah mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan untuk kelab supaya mampan daripada segi kewangan serta memastikan tahap latihan boleh membawa kelab ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid, menerusi kenyataan sama, berkata perjanjian pada Rabu itu merupakan hari bersejarah apabila pemilikan majoriti KL City telah beralih kepada Rinani.

“Penswastaan kelab adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sukan bola sepak profesional, termasuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kelab selama ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )