
Remaja Lemas di Taman Rekreasi Sungai Kedondong
KUALA LUMPUR, 11 Februari 2025 – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas di Taman Rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor, tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mangsa, Adam Ashraf Mohd Amir, 19, dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti di sungai tersebut. Mangsa ditemukan kira-kira tiga meter dari lokasi terakhirnya pada jam 12.44 tengah hari.
Menurut JBPM, panggilan kecemasan diterima daripada rakan mangsa pada jam 11.43 pagi. Susulan itu, enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaksanakan pencarian permukaan (‘surface searching’) di kawasan sekitar sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” menurut kenyataan tersebut.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.