Red Devils benam Burnley 3-1, beri tekanan pada Man city

Red Devils benam Burnley 3-1, beri tekanan pada Man city

LONDON: Manchester United menghampiri pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan kurang lapan mata selepas dua gol Mason Greenwood membantu United menewaskan Burnley 3-1 sementara gol saat akhir Eddie Nketiah membantu Arsenal seri 1-1 dengan Fulham pada Ahad.

United tidak dijangka mampu mengejar City tetapi gol lewat Greenwood meletakkan sedikit tekanan ke atas kelab jirannya itu dengan baki enam perlawanan sahaja lagi musim ini.

Greenwood membuka jaringan pada awal separuh masa kedua perlawanan di Old Trafford tetapi James Tarkowski mengikat kedudukan kurang dua minit kemudian. Gol kedua Greenwood menjadikan beliau penjaring remaja terbanyak dalam sejarah Liga Perdana buat United, berkongsi rekod dengan Wayne Rooney yang menjaringkan 15 gol.

Edinson Cavani melengkapkan jaringan pada minit kecederaan ketika United meraih kemenangan liga yang keenam berturut-turut, kali pertama ia dilakukan sejak Januari 2019.

“Hebat untuk Mason, dua gol yang cantik dari sayap kiri,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer. “Beliau semakin matang sepanjang masa. Ia menarik untuk dilihat.”

Walaupun mereka mungkin terlalu lewat untuk meminta City, United berada di landasan untuk menamatkan musim di tangga kedua dan mungkin masih mampu untuk memenangi kejuaraan pertama sejak di bawah kendalian Solskjaer.

United bertemu AS Roma pada perlawanan separuh akhir Liga Europa selepas mudah menewaskan Granada pada perlawanan suku akhir kedua Khamis lalu. “Kami sentiasa berkata bahawa musim ini harus meningkat dan berkembang. Kami sudah mendapat seberapa banyak mata seperti musim lepas. Ia satu perkembangan,” kata Solskjaer.

“Kami mahu menamatkan musim dengan kejuaraan Liga Europa. Kami mempunyai fokus yang tinggi.”

United bernasib baik tidak ketinggalan pada awal permainan apabila tandukan Chris Wood tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid selepas penjaga gol Dean Henderson gagal mencapai hantaran lintang Matt Lowton.

Greenwood membuka jaringan pada minit ke-48 dengan satu penyudah jarak dekat selepas Bruno Fernandes mengelirukan pertahanan Burnley dari umpanan Marcus Rashford. Gol keempat Greenwood dalam enam penampilan terakhir itu bagaimanapun diikat dua minit kemudian apabila Tarkowski melepasi kawalan Harry Maguire untuk menanduk tendangan sudut Ashley Westwood.

Greenwood meletakkan United kembali di hadapan pada minit ke-84 apabila rembatannya terkena Jack Cork sebelum Cavani melengkapkan jaringan pada saat akhir permainan. Arsenal diambang kekalahan pertama mereka di tempat sendiri menentang Fulham apabila berhempas-pulas selepas Josh Maja membuka jaringan dari satu tendangan penalti.

Tetapi Nketiah memastikan Fulham semakin hampir tersingkir dari Liga Perdana musim ini apabila menjaringkan gol penyamaan saat akhir.

Ia adalah kekecewaan besar buat Fulham, yang berada di tangga ketiga dari bawah liga, enam mata dari zon selamat dan mempunyai baki lima perlawanan untuk mengelak penyingkiran.

Brighton, di tangga kelima dari bawah liga, akan bertandang ke Chelsea pada Selasa dan seperti Burnley yang berada di tangga keempat, masih kurang satu perlawanan berbanding Fulham selepas perlawanan itu.

“Saya kecewa dan tersentak,” kata pengurus Fulham, Scott Parker. “Saya ada melihat rakaman gol mereka. Bagi saya, Rob Holding kelihatan berada pada kedudukan ofsaid. “Ia adalah apa yang mengecewakan. Kami begitu hampir (untuk menang) dan ia menyakitkan.”

Arsenal kini di tangga kesembilan liga, sembilan mata dari slot empat tangga teratas liga dan peluang terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara ialah dengan memenangi Liga Europa di mana mereka akan menentang Villarreal di separuh akhir.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )