RCEP bukti Malaysia dan rakan perjanjian akan terus perkukuh integrasi serantau

RCEP bukti Malaysia dan rakan perjanjian akan terus perkukuh integrasi serantau

KUALA LUMPUR,. Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang dimerterai baru-baru ini membuktikan bahawa Malaysia beserta ASEAN dan lima Rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kesatuan itu akan terus memperkukuhkan integrasi ekonomi, memudahcara perdagangan dan pelaburan rentas sempadan serta mengurangkan halangan bukan tarif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perjanjian RCEP merupakan FTA yang terbesar merangkumi 2.2 bilion atau hampir sepertiga (29.7 peratus) penduduk dunia dan menyumbang sebanyak US$24.8 trilion atau hampir sepertiga (28.9 peratus) keluaran dalam negara kasar (KDNK) global berdasarkan data Bank Dunia pada tahun 2018.

“RCEP dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca COVID-19 menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan termasuk integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai serantau,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Di sebalik segala cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global yang dicetuskan oleh penularan COVID-19, Mohamed Azmin berkata segala usaha serta perancangan rapi kerajaan untuk membina semula dan mencerdaskan ekonomi negara telah menampakkan hasil.

“Bank Negara Malaysia, dalam laporannya, menyatakan KDNK benar pada suku ketiga 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak 2.7 peratus.

“Penguncupan kadar KDNK yang jauh lebih kecil pada suku ketiga tahun ini berbanding suku kedua 2020 iaitu -17.1 peratus mencerminkan kegiatan ekonomi yang semakin meningkat dan berkembang,” katanya.

Pemulihan ekonomi negara adalah hasil dari tindakan bertanggungjawab Kerajaan melaksanakan empat pakej ransangan ekonomi, PRIHATIN, PRIHATIN SME, PENJANA dan Kita PRIHATIN dengan jumlah RM305 bilion.

Pembukaan sektor ekonomi serta permintaan luaran yang meningkat juga telah membantu merancakkan semula aktiviti-aktiviti perniagaan dan pelaburan.

“Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan terus berusaha membela watan agar Malaysia terus membangun sebagai sebuah negara yang progresif dalam semua aspek.

“Kita mahu jadikan 2021 sebagai tahun yang menjanjikan kemakmuran, keamanan serta kesatuan rakyat dan negara,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )