Rang Undang-Undang AGS 2021 usaha pastikan gangguan seksual tidak dinormalisasikan

Rang Undang-Undang AGS 2021 usaha pastikan gangguan seksual tidak dinormalisasikan

KUALA LUMPUR,. Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) adalah usaha kerajaan untuk memastikan budaya gangguan seksual tidak dinormalisasikan di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun (gambar) berkata pelaksanaan rang undang-undang itu akan menjadikan orang ramai lebih peka dan berhati-hati sebelum melakukan sebarang perbuatan yang menjurus kepada gangguan seksual.

“Saya tidak mahu budaya gangguan seksual ini dinormalisasikan. Dah jadi macam perkara biasa pulak. Kadang-kadang gurauan yang melampaui batas dan kerana itu rang undang-undang ini tepat pada waktunya.

“Jadi apabila ada rang undang-undang ini, mereka (pelaku) akan sekurang-kurangnya lebih peka dengan perbuatan mereka itu adalah bukan sekadar gurauan…perlu ada batas-batas yang tertentu dalam kehidupan seharian,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini.

Rang Undang-Undang AGS 2021 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual; penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya.

Selain itu, Rina berkata tribunal mempunyai kuasa untuk menolak aduan tidak munasabah dan jika didapati aduan tersebut adalah satu fitnah, kes tersebut boleh difailkan secara berasingan di Mahkamah Sivil.

Dalam memastikan kepentingan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terjaga, di bawah Fasal 13 (4) Rang Undang-Undang AGS telah menyatakan seseorang yang belum dewasa atau mana-mana orang tidak berupaya termasuk OKU boleh diwakili sahabat wakil atau penjaga semasa sesi pendengaran.

“Kita juga akan ada mereka yang mempunyai kemahiran bahasa isyarat bagi membantu sahabat-sahabat OKU kita. Kita memahami kanak-kanak termasuk OKU terdedah kepada gangguan seksual di mana-mana sahaja, secara fizikal atau dalam talian,” katanya.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Terdahulu, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan seorang wakil OKU dilantik dalam tribunal bagi memastikan golongan itu tidak didiskriminasi selain memudahkan mereka mendapat keadilan dalam kes gangguan seksual.

“OKU mempunyai cabaran dalam mengakses kemudahan untuk membuat laporan mengenai gangguan seksual, contohnya buta dan pekak kerana mereka sukar berkomunikasi.

“Jadi kita mesti pastikan mereka juga ada akses untuk membuat laporan tanpa diskriminasi…besar harapan saya sekurang-kurang seorang OKU dilantik dalam tribunal ini. Pelantikan ini selaras dengan teras aspirasi utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )