Ragbi SEA 7s: Malaysia tamatkan cabaran di kedudukan ketiga

Ragbi SEA 7s: Malaysia tamatkan cabaran di kedudukan ketiga

KUALA LUMPUR,. Malaysia terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga pada Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) di Bangkok, Thailand, semalam.

Skuad negara memulakan kejohanan dengan baik apabila menewaskan Singapura 19-17 dan membenam Kemboja 55-0 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Ragbi Kmitl, pada Sabtu untuk mara ke separuh akhir sebagai pendahulu kumpulan.

Bagaimanapun, skuad ‘Bunga Raya 7’, yang menduduki tempat kedua di belakang Chinese Taipei pada Kejohanan SEA 7s di Singapura, bulan lepas, terlepas ke final selepas kalah tipis 12-17 menentang naib juara Kumpulan B, Thailand pada peringkat empat terakhir, semalam.

Pasukan negara kemudian mengalahkan Singapura 17-10 pada penentuan tempat ketiga-keempat, manakala Chinese Taipei mempertahankan kejuaraan selepas mengatasi Thailand 19-10 pada aksi final.

Pengurus pasukan Datuk Azaddin Abd Aziz berkata meskipun di tempat ketiga, kejohanan berkenaan menjadi medan persediaan terbaik untuk Sukan Asia Hangzhou, September depan.

“Perlawanan separuh akhir menentang Thailand hari ini berlangsung dalam cuaca panas, 39 darjah Celsius. Kita mendominasi separuh masa pertama dengan dua percubaan, namun pada separuh masa kedua, intensiti meningkat dengan kelebihan kepada Thailand yang beraksi di laman sendiri, keletihan menjadi faktor utama.

“Bagaimanapun, kita menukar pelan permainan ketika menentang Singapura dan melakukan serangan pantas, yang membuahkan hasil. Keseluruhannya kita masih mencuba gabungan pemain senior dan junior bagi menghadapi Sukan Asia,” katanya yang dihubungi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )