PSM tak arah guna penyodok, kadbod buang air bertakung di Stadium Nasional
KUALA LUMPUR,. Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak mengeluarkan arahan supaya penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi berkata tindakan mengeluarkan air secara manual itu tidak sepatutnya dilakukan kerana venue tesebut mempunyai sistem perparitan yang berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air yang bertakung di padang.
“PSM memang tidak mencadangkan mengeluarkan air secara manual seperti itu terutama sekali menggunakan penyodok dan kadbod seperti membersihkan lantai…sepatutnya tidak begitu.
“Padang ini ada sistem perparitan dan kalau tengok bila perlawanan bermula tiada lagi kelihatan air bertakung kerana ia memerlukan masa untuk air surut keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Semalam, tular beberapa petugas dilihat menggunakan penyodok dan kadbod dalam usaha mengatasi masalah air bertakung di Stadium Nasional selepas hujan lebat yang mengakibatkan hampir sepenuhnya permukaan padang digenangi air.
Mengulas lanjut, Mohd Faidz berkata sistem perparitan di Stadium Nasional membolehkan permukaan padang yang bertakung kembali normal dalam tempoh 15 minit selepas hujan berhenti sementara sekiranya hujan lebat disusuli hujan renyai ia mengambil masa antara 20 hingga 25 minit untuk air surut.
Beliau berkata permukaan padang menjadi lebih teruk akibat penggunaan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air kerana ia merosakkan rumput.
“Ini seperti hendak mengeringkan rambut menggunakan sikat… anda menggunakan peralatan yang tidak sepatutnya, tak perlu gunakan alatan kerana ada parit di bawah itu yang akan mengalirkan air keluar,” katanya.
Sementara itu, PSM dalam kenyataan menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.
PSM menjelaskan pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran permukaan padang Stadium Nasional yang dijadual bermula suku pertama tahun depan selain kerja-kerja penambahbaikan lain sejurus tamat komitmen acara-acara lain tahun ini.
— BERNAMA