PRU15: Tian Chua dirikan 8 arca ‘Kerusi Rakyat’ gergasi

PRU15: Tian Chua dirikan 8 arca ‘Kerusi Rakyat’ gergasi

KUALA LUMPUR: Calon Bebas di Parlimen Batu, Tian Chua membuat kelainan dalam kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila melancarkan arca seni ‘Kerusi Rakyat’ gergasi pada Isnin.
Beliau yang bertanding menggunakan logo kerusi itu berkata, arca setinggi 3.7 meter(m) dan 6.1m itu akan diletakkan di lapan lokasi berbeza di sekitar kawasan Parlimen itu.

Tian Chua berkata, pengenalan arca tersebut adalah untuk mengingatkan semua pihak bertanding maksud sebenar kerusi Parlimen yang dipertandingkan setiap kali pilihan raya.

“Ini bukan propaganda untuk menangkan Tian Chua, tapi saya ingin melalui kempen ini membawa falsafah lebih jauh daripada pilihan raya kali ini. “Masyarakat juga sedar bahawa kerusi direbut oleh parti dan ahli politik ini sebenarnya adalah milik rakyat dan ahli politik yang menang juga bila duduk dalam Parlimen berbahas mendapatkan kuasa harus ingat tempat yang mereka duduk itu milik rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran ‘Kerusi Rakyat’ yang diadakan di hadapan Sky Awani Residences, Jalan Sentul Pasar, di sini, pada Isnin.
Karya seni itu akan ditempatkan di tujuh lagi lokasi berlainan iaitu di Sentul Pasar, Jalan Ipoh Batu 3, Jalan Ipoh Batu 5, Lotus’s Selayang, Petronas Jalan Kuching, Taman Seri Murni dan Bandar Baru Sentul.

Tian Chua berkata, beliau berharap mesej ingin disampaikan melalui karya itu dapat terus menimbulkan kesedaran kepada rakyat walaupun selepas PRU15. Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya berjaya memenangi kerusi tersebut.

“Saya juga ingin tegaskan perjuangan saya tidak terpisah daripada perjuangan yang saya mulakan sebagai aktivis reformasi dan pendirian saya sebagai ahli Parlimen ini tetap tidak beza, dari sejak 2008 atau sejak 1998.

“Saya telah berjuang untuk reformasi dan semua khabar angin bahawa saya komplot parti musuh, saya akan menyertai PN, ini adalah fitnah yang tidak berasas. “Saya tolak sekeras-kerasnya dan saya seru kepada semua jika kita ingin kekalkan Batu sebagai satu kerusi untuk reformasi, sila tumpukan undi untuk menyokong saya,” katanya yang pernah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal pada PRU12 dan PRU13.

Pertandingan di Parlimen Batu dalam PRU15 kali ini menyaksikan pertembungan 10 penjuru melibatkan penyandangnya P Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk A Kohilan Pillay (BN) dan Azhar Yahya (PN).

Calon lain ialah P Naganathan (Parti Warisan Malaysia) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Parti Pejuang Tanah Air). Beberapa calon bertanding atas platform Bebas, termasuk pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleopatra; peguam, Siti Kasim, Too Cheng Huat dan Zulkifli Abd Fatah.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )