PRU15: MCA kekal bersama BN, pastikan kemenangan – Wee Ka Siong

PRU15: MCA kekal bersama BN, pastikan kemenangan – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR,. MCA hari ini menzahirkan pendirian parti untuk kekal bersama-sama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akan datang.

Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menegaskan perkara itu pada perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-67 berkata, sejak penubuhannya MCA telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran dalam perjuangan dan menghadapi waktu susah senang dan pahit manis bersama-sama (BN).

“Meraikan kepelbagaian budaya, kesederhanaan dan sifat inklusif yang diterap dan dipratikkan oleh BN adalah selari dengan perjuangan MCA.

“Oleh itu, pada PRU15 datang, MCA akan terus bersama-sama dengan BN, untuk memastikan BN memperoleh kemenangan. Jika melihat adanya keperluan, kita juga akan bersama parti-parti lain untuk membina kekuatan dalam membawa semangat kepelbagaian dan kesederhanaan demi memelihara negara,” katanya di sini.

Perhimpunan berkenaan diadakan secara hibrid, susulan pandemik COVID-19 menggabungkan kehadiran 95 perwakilan secara fizikal di ibu pejabat MCA di sini, manakala selebihnya 1,125 perwakilan mengambil bahagian secara maya.

Mengulas lanjut, Wee yang juga Menteri Pengangkutan berkata PRU15 merupakan pilihan raya yang amat penting bagi MCA, yang akan menentukan nasib parti pada masa akan datang dan mendapat kembali sokongan dan mandat rakyat.

“Bagi kita, PRU akan datang merupakan cabaran yang sangat besar, kerana kita perlu memastikan MCA menang lebih banyak kerusi supaya kita mempunyai lebih banyak mandat rakyat, dan sekali gus dapat memperkuatkan parti,” katanya.

Selain itu cara berpolitik kata Wee perlu dibiasakan dengan norma baharu, sama seperti norma baharu yang dilaksanakan ekoran COVID-19, dan untuk itu MCA katanya tidak boleh lagi bersaing mengikut model dan corak pemikiran yang lama.

Beliau berkata MCA perlu bergerak seiring peredaran masa, mengambil kira padangan dilontarkan supaya kekal relevan, dan matlamat utama parti untuk menang dan mengembalikan kegemilangan parti yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

“Kita tidak mahu ada perselisihan atau pertengkaran dalaman parti, kerana ia merupakan ‘virus perosak’ yang boleh menjatuhkan kita semua. Kita perlu memastikan kemenangan dalam PRU akan datang. Jangan kerana pergelutan dalaman parti, akhirnya parti tergadai,” katanya.

Selain itu katanya kegagalan yang dialami Pakatan Harapan perlu jadikan sebagai pengajaran dan iktibar buat MCA, agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Mengenai kerajaan, MCA yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kata Wee, akan memainkan peranannya demi kepentingan dan kebajikan rakyat, dalam menangani pandemik COVID-19 dan merancakkan ekonomi.

Terdahulu, Wee turut merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-72 MCA, yang turut diadakan hari ini dengan pesembahan kumpulan gendang dan acara nyanyian.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )