‘Projek rundingan terus diluluskan di luar pengetahuan saya’

‘Projek rundingan terus diluluskan di luar pengetahuan saya’

KUALA LUMPUR,. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan dua projek yang diluluskan secara rundingan terus dibuat di luar pengetahuannya.

Sehubungan itu, beliau berkata siasatan akan dijalankan terhadap perkara itu.

“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, yang turut mengaitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menawarkan projek rundingan terus.

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kementerian Kewangan semalam mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dalam kenyataan itu memaklumkan mendahului senarai projek rundingan terus adalah membabitkan Kementerian Pengangkutan dengan nilai perolehan sebanyak RM4.47 bilion membabitkan empat projek.

Daripada jumlah itu, dua projek KPKT membabitkan jumlah RM170.79 juta.

Projek berkenaan merangkumi pemberian kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakauan saga yang diberikan kepada syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501,206.37.

Satu lagi projek berkaitan dengan cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong dan Kuala Lumpur bagi menggantikan stesen pemindahan sisa pepejal sedia ada yang diberikan kepada syarikat Bumi Segar Indah Sdn Bhd dengan jumlah RM170,294,400.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )