
Projek Fasa 3 NMB di Blok PM302 catat pengeluaran gas pertama – Petronas
KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan projek Fasa 3 Lembangan Melayu Utara (NMB) di Blok PM302, yang terletak 290 kilometer dari luar pantai Semenanjung Malaysia, mencatatkan pengeluaran gas pertama baru-baru ini.
Blok PM302 dikendalikan oleh anak syarikat Hess Corporation, Hess Exploration & Production Malaysia BV (Hess) yang memegang 50 peratus kepentingan ekuiti dalam projek ini manakala baki kepentingan sebanyak 50 peratus lagi dipegang oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.
Menurut Petronas projek Fasa 3 NMB diluluskan pada 2019 dan merupakan sebahagian daripada pembangunan berbilang fasa.
“Ia termasuk pemasangan Platform Kepala Telaga Bergading-B baharu yang menambah 100 juta kaki padu sehari (MMscfd) bekalan gas daripada Blok PM302, menjadikan jumlah pengeluaran sebanyak 400 MMscfd,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata pengeluaran gas pertama itu menjadi satu pencapaian utama bagi kedua-dua pihak memandangkan projek Fasa 3 NMB adalah penting dalam mengekalkan bekalan gas Semenanjung Malaysia dalam keadaan permintaan yang semakin meningkat.
“Kerjasama erat antara pihak-pihak Blok PM302 dan penyedia perkhidmatan mereka dalam menangani cabaran ketika tempoh pandemik telah mendorong kejayaan pengeluaran ini, sekali gus membuktikan daya tahan keseluruhan ekosistem huluan Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama. – BERNAMA