Projek CAREton sasar kitar semula 400,000 bekas minuman menjelang akhir 2020

Projek CAREton sasar kitar semula 400,000 bekas minuman menjelang akhir 2020

KLANG,. Projek CAREton kendalian MILO UHT menyasarkan untuk mengitar semula sejumlah 400,000 bekas minuman menjelang akhir tahun 2020 menerusi jalinan kerjasama baharunya dengan rangkaian pasar mini tempatan, 99 Speedmart.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata inisiatif itu akan bermula di 100 cawangan 99 Speedmart terpilih di Lembah Klang dengan tong kitar semula CAREton disediakan di setiap lokasi.

“Tahun ini dengan sokongan 99 Speedmart, MILO UHT berhasrat untuk terus memperluas jangkauan projek ini. Pengguna boleh meletakkan pek bekas minuman mereka ke dalam tong kitar semula CAREton di cawangan terpilih.

“Untuk mencari lokasi terdekat tong kitar semula itu, sila layari laman terbabit di http://recycle-easy.com.my dan bagi mereka yang berminat menjadi rakan kongsi pengumpulan CAREton, butiran mengenainya juga boleh didapati di laman ini,” katanya selepas melancarkan kerjasama rasmi MILO UHT dengan 99 Speedmart bagi program CAREton hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu berjaya mengumpul lebih 95 juta pek bekas minuman sejak 2012 dan membantu membina lebih 250 rumah daripada program ini sahaja.

Dilancarkan pada 2012, projek CAREton sebelum ini menyaksikan kolaborasi antara MILO UHT dan Tetra Pak bagi mengumpul bekas minuman untuk dikitar semula sebagai atap genting ‘hijau’ dan papan panel untuk komuniti.

Projek CAREton telah menyumbang atap genting dan papan panel bagi membina rumah bagi Kampung Orang Asli Serendah, membantu membaik pulih sebuah pusat komuniti di Johor, membina tandas dan pancuran mandi di Kampung Hulu Tamu, Selangor serta menyediakan atap genting untuk Kelas Pendidikan Eko di Hulu Yam Bahru.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )