Program Madinah Ramadan di Kelantan Dijangka Tarik 100,000 Pengunjung

Program Madinah Ramadan di Kelantan Dijangka Tarik 100,000 Pengunjung

KOTA BHARU, 19 Februari 2025 – Program tahunan Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV dijangka menarik kehadiran seramai 100,000 pengunjung sepanjang bulan suci ini, menjadikannya salah satu acara utama di Kelantan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah, program ini menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah, dengan imam jemputan khas dari Mesir, Syeikh Mohammed Sobhy Gomaa Elsheikh dan Syeikh Ayman Adel Mostafa Abdelhafeez Mohamed.

“Madinah Ramadan tahun ini bertemakan ‘Dua Dekad Kota Bharu Bandar Raya Islam’, di mana pengunjung dapat menikmati pengalaman beribadah dalam suasana unik sambil mengenali sejarah negeri Kelantan melalui pameran bertemakan muzium. Ruang solat juga mampu memuatkan sehingga 1,500 jemaah dalam satu masa,” katanya.

Persiapan acara kini berada pada tahap 70 peratus, dengan tapak program, khemah utama, serta kemudahan awam dalam fasa akhir pemasangan. Program ini juga mendapat sokongan dana sebanyak RM1.8 juta bagi memastikan semua kelengkapan disediakan dengan sempurna.

Dalam aspek kebersihan, Hilmi menekankan bahawa pasukan khas pembersihan akan bertugas sepanjang Ramadan bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa terjaga.

“Kami mengingatkan para peniaga bazar agar menjaga kebersihan kawasan masing-masing serta memastikan makanan yang dijual selamat untuk dimakan tanpa dipanaskan semula,” tambahnya.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )