PRK Chini medan ujian Muafakat Nasional

PRK Chini medan ujian Muafakat Nasional

PEKAN,. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menjadi medan ujian jentera Muafakat Nasional (MN) beroperasi sebagai sebahagian daripada jentera Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata bagaimanapun dalam PRK itu ‘enjin utama MN’ masih digunakan sebagai teras gerakan jentera pilihan raya di DUN berkenaan.

“Sebelum pembentukan PN lagi, UMNO dan PAS telah ada perjanjian persefahaman (MoU) dan piagam yang diguna pakai sebagai teras agenda perjuangan secara bersama. Apabila ada PRK, kita praktikkan apa yang telah dirancang sebelum ini.

“Sekarang apabila ada PRK pertama selepas pembentukan PN, senario agak berbeza, namun kita mengekalkan MN sebagai platfom kerjasama dan pada masa kita juga sebahagian PN dan kerajaan itu sendiri,” katanya selepas mengadakan lawatan di Felda Chini 4, dekat sini, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, MN akan mengadakan pertemuan dengan kesemua pengerusi badan perhubungan, timbalan pengerusi badan perhubungan dan setiausaha perhubungan kedua-dua parti, semua negeri di ibu negara, Ahad ini, sebagai persiapan menghadapi PRU15.

Pertemuan itu bagi membolehkan satu sesi taklimat secara terperinci diadakan tentang platform kerjasama dan pembentukan jawatankuasa penyelaras dan jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri dan peringkat Parlimen melibatkan dua parti itu.

“Kita hendak memformalkan perkara ini di semua kawasan pilihan raya. UMNO dan PAS setuju untuk ambil pendekatan proaktif ini dari sudut gerak jentera pilihan raya secara bersama untuk tentukan program dan aktiviti persiapan pilihan raya di setiap kawasan Parlimen,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )