Prinsip Malaysia MADANI wajar jadi landasan tangani Islamofobia

Prinsip Malaysia MADANI wajar jadi landasan tangani Islamofobia

Masyarakat Bukan Islam Di Kelantan Seronok Berbuka Puasa Di Masjid

KUALA LUMPUR: Prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman, hormat-menghormati dan semangat persaudaraan sejagat, wajar dijadikan landasan dalam menangani segala bentuk prejudis termasuk Islamofobia.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata Malaysia juga perlu terus menjadi model terbaik dalam menzahirkan nilai keharmonian dan keterbukaan.

“Dalam suasana dunia semakin mencabar, semua pihak termasuk pemimpin, masyarakat sivil dan individu, digesa berperanan dalam menolak sebarang bentuk diskriminasi agama serta menyuburkan nilai kasih sayang, keterangkuman dan perpaduan.

“Justeru sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia seharusnya terus menjadi model terbaik dalam menzahirkan nilai-nilai keharmonian serta keterbukaan.

“Prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman, hormat-menghormati serta semangat persaudaraan sejagat, wajar dijadikan landasan dalam menangani segala bentuk prejudis, termasuk Islamofobia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini, sempena Hari Memerangi Islamofobia Sedunia yang diperingati pada 15 Mac setiap tahun melalui Resolusi 76/254 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi turut menzahirkan kebimbangan ABIM mengenai peningkatan sentimen Islamofobia yang semakin meruncing pada peringkat global.

Beliau berkata, sentimen itu sering didorong naratif yang mengherotkan ajaran Islam dan mencetuskan kebencian terhadap umat Islam.

“Islam adalah agama keamanan serta rahmat bagi sekalian alam, dan sebarang bentuk pengherotan kefahaman terhadapnya hanya akan memburukkan keadaan serta menghakis keharmonian yang kita impikan,” katanya.

Sempena Hari Memerangi Islamofobia Sedunia, beliau berkata, ABIM turut menegaskan lagi komitmennya memperjuangkan keharmonian dan keadilan sejagat.

“Tarikh 15 Mac bukan sekadar peringatan akan cabaran dihadapi umat Islam di serata dunia akibat prejudis dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam.

“Sebaliknya, ia juga satu seruan untuk memperkukuhkan usaha membina dunia lebih harmoni, adil dan saling menghormati.

“Sempena Hari Memerangi Islamofobia Sedunia, ABIM dengan kerjasama Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia & The Pacific (RISEAP) akan menganjurkan Majlis Iftar Muhibah 2025 sebagai satu inisiatif membina keharmonian antara masyarakat pelbagai latar belakang di Malaysia.

“Majlis ini akan dianjurkan pada jam 5 petang 19 Mac ini di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya.

“Majlis ini akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah acara tahunan ABIM bertujuan memupuk semangat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini melalui sesi dialog, pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )