Presiden MIC cabar Puad soal Zahid berhubung isu surat sokongan Anwar jadi PM

Presiden MIC cabar Puad soal Zahid berhubung isu surat sokongan Anwar jadi PM

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi untuk menyoal Presiden UMNO berhubung isu surat sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Tegasnya, Puad seharusnya mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjawab persoalan berkenaan, sebelum menegur MIC berhubung kerjasama politik dengan pihak lain selain Barisan Nasional (BN), lapor Free Malaysia Today pada Selasa.

“Dia (Puad) berani ke tanya presiden dia?.

“Tanyalah keputusan siapa? Adakah itu keputusan BN atau UMNO? Kalau bukan dua-dua, habis keputusan siapa?,” katanya dilaporkan portal berkenaan.

Malah tegas Vigneswaran, Zahid sepatutnya menjawab isu berhubung keputusan untuk menyokong pemimpin parti lawan seperti yang dikatakan tertulis dalam surat terbabit jika ia bukan keputusan BN.

Sebelum ini, Puad memberi teguran kepada MIC dan MCA agar jangan gopoh mencari ‘rakan pergantungan’ baharu hanya kerana kedua-dua parti itu mempunyai satu atau dua kerusi kawasan pilihan raya.
Puad antara lain dilaporkan mengingatkan kedua-dua parti itu mengenai pengalaman UMNO dilayan umpama ‘adik tiri’ selepas bersama Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Vigneswaran turut menyanggah teguran itu dan mengingatkan agar tiada tuduhan terus dituju terhadap MIC atas keputusan menyokong kerajaan PN sebelum ini.
“Siapa yang gopoh? Siapa yang bagi surat kepada Agong untuk menyokong Anwar. Cukuplah, bagi kita ada kerusi ke tiada kerusi ke, kita tak ada masalah.

“Bukan mati pun. Yang bermasalah sekarang parti tunjang BN, iaitu UMNO. Saya menggesa Puad beri nasihat kepada kepimpinan UMNO sahaja. Perbetulkan isu dalam UMNO dulu,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, MIC tiada masalah untuk terus menyokong kerajaan PN meskipun UMNO membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah MIC ujarnya, adalah parti komponen yang setia bersama BN ketika tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Justeru, MIC tidak pernah membuat keputusan untuk keluar daripada BN meskipun menyatakan sokongan terhadap PN.

“Saya tidak mahu bergaduh dengan abang-abang dan adik-adik saya. Kalau mereka bangkitkan isu kita kena jawab. Jangan meludah ke langit kerana ia akan jatuh ke muka.
“Bila kita cakap kita sokong PN janganlah tuduh kita macam-macam. Sebelum ini semua sudah lari dari BN, yang tinggal kita…tapi kamu nak perkecil lagi kita.” tegasnya lagi.

-FMT

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )