Polis simpan telefon bimbit Rafizi untuk analisis forensik

Polis simpan telefon bimbit Rafizi untuk analisis forensik

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan tersebut adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

“Peranti berkenaan akan dipulangkan kelak setelah proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl Sani dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata Rafizi telah dipanggil dan dirakam percakapan pada 3 Sept lepas bagi membantu siasatan setelah laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran yang disiasat, telah diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat laporan yang dibuat terhadap Dr Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya telah dijalankan, selain turut memaklumkan proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa oleh pihak tertentu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media semalam menggesa Acryl Sani menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan polis merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Dr Abdul Latiff kelmarin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )