
Polis Siasat Isu Replika Naga Berhias Bendera China di Muar
MUAR: Polis telah melancarkan siasatan berhubung penyebaran video dan gambar di media sosial yang memaparkan replika naga dihiasi bendera China semasa perarakan kebudayaan di Muar, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, perarakan tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada program seni dan kebudayaan bersempena ulang tahun ke-20 Gabungan Persatuan Tiong Hua daerah Muar.
“Perarakan bermula sekitar jam 6.10 petang, melibatkan tarian singa serta replika naga yang dikatakan terpanjang di Malaysia, melalui beberapa jalan utama di bandar Muar,” jelasnya.
Pemeriksaan pihak polis mendapati replika naga tersebut dihiasi Jalur Gemilang di sebelah kanan badannya, manakala sebelah kiri dihiasi bendera China.
Susulan penularan gambar dan video berkaitan, polis bertindak segera dengan membuka kertas siasatan pada hari kejadian dilaporkan.
“Penganjur perarakan dan beberapa saksi kejadian telah dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” kata ACP Raiz dalam satu kenyataan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012, serta Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan spekulasi sehingga siasatan selesai.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9526001.