Polis Siasat Insiden Pelampung Gelongsor Jatuh Menimpa Pengunjung di Taman Tema I-City

Polis Siasat Insiden Pelampung Gelongsor Jatuh Menimpa Pengunjung di Taman Tema I-City

SHAH ALAM, 31 Jan 2025 – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden pelampung gelongsor air kaca yang terjatuh secara tiba-tiba dan menimpa seorang pengunjung di Sky City, Taman Tema I-City, Shah Alam, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, memaklumkan bahawa laporan kejadian diterima pada jam 1.08 pagi, Jumaat, susulan tersebarnya video berdurasi 13 saat di media sosial.

“Insiden berlaku sekitar jam 11 pagi ketika mangsa, seorang wanita Melayu berusia 20-an, bersama keluarganya di taman tema tersebut. Ketika melintasi bahagian bawah permainan gelongsor air Sky City, pelampung yang tergantung telah terjatuh dan terkena bahagian sisi tubuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mangsa Tidak Alami Kecederaan Serius
Mohd Iqbal memaklumkan bahawa mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam, dan pemeriksaan mendapati tiada kecederaan serius dialami.

Dalam siasatan lanjut, pihak berkuasa mendapati Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum ini telah mengeluarkan kompaun bertarikh 14 November 2024 terhadap pengurusan taman tema atas kesalahan pembinaan tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen. Jika sabit kesalahan, pihak pengurusan boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun,” jelasnya.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan kecederaan akibat tindakan yang membahayakan keselamatan orang lain. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Tahar, di talian 014-5130450.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )