Polis panggil Fahmi Reza bantu siasatan jata negeri Pahang disunting

Polis panggil Fahmi Reza bantu siasatan jata negeri Pahang disunting

KUALA LUMPUR,. Pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza (gambar) pada Selasa dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung suatu hantaran di halaman media sosial Facebook mengandungi imej didakwa seakan jata Negeri Pahang yang disunting dengan perkataan “House of Balak”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam kenyataan berkata aktivis berkenaan dipanggil untuk dirakam kenyataannya di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, JSJ.

“PDRM sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran yang dimuat naik pada 3 Jan lepas.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakannya untuk menyebarkan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Katanya tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )