Polis kejar lelaki dipercayai positif dadah sejauh 18 km

Polis kejar lelaki dipercayai positif dadah sejauh 18 km

KUALA LUMPUR,. Polis terpaksa mengejar sejauh 18 kilometer dua lelaki yang mengelak ditahan polis sebelum seorang daripada mereka berjaya diberkas berhampiran Taman Tasik Ampang Hilir dekat sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan menjelaskan suspek juga bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis ketika kejadian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sebuah video berdurasi 13 saat yang tular di laman sosial yang memperlihatkan seorang anggota polis menendang seorang lelaki berhampiran Taman Tasik Ampang Hilir dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata dalam kejadian pada 4.45 petang itu, sepasukan anggota polis sedang membuat rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Jalan Genting Klang sebelum terserempak dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata ketika polis menghampiri mereka untuk pemeriksaan, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dan tidak mengendahkan arahan supaya berhenti.

“Mereka sebaliknya menunjukkan isyarat tangan seolah-olah mencabar pasukan keselamatan,” katanya sambil menambah sebaik tiba di susur keluar Jalan Ampang berhampiran Taman Tasik Ampang Hilir, motosikal terbabit melawan arus sebelum terbabas di bahu jalan.

“Penunggang motosikal itu berjaya ditahan manakala pemboncengnya melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang besar di tepi jalan,” katanya.

Mazlan berkata siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kes narkotik dan pecah rumah selain ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Lelaki itu direman empat hari sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Bagaimanapun, Mazlan berkata siasatan dalaman sedang dijalankan bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard berlaku ketika proses tangkapan tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan kematian seorang lelaki Nepal berusia 37 tahun dalam tahanan pada Ahad selepas ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Katanya siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau salah laku dan pihak Kedutaan Nepal telah dimaklumkan mengenai insiden itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )