Polis berpangkat ASP maut kemalangan di Lebuhraya NKVE

Polis berpangkat ASP maut kemalangan di Lebuhraya NKVE

SHAH ALAM,. Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP, maut dalam kemalangan di kilometer 6.7 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Kuala Lumpur ke Klang, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa Gan Chee Liang, 39, itu sedang berkhidmat di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras.

“Kejadian berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis SUV dari arah Kuala Lumpur menghala Klang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas berhampiran penghadang di sebelah kiri jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam oleh ambulans dan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Susulan itu, Mohd Iqbal meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Insp Muhammad Hasrul Suhiami menerusi talian 011-31215697.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )