Polis bantuan lebuhraya ditahan tunda, jual kereta tersadai

Polis bantuan lebuhraya ditahan tunda, jual kereta tersadai

GOMBAK,. Gara-gara menunda dan menjual sebuah kereta Proton Iswara Aeroback milik individu lain yang tersadai di hadapan surau di Batu Caves, seorang polis bantuan lebuh raya ditahan polis, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah syarikat penyuraian trafik di Petaling Jaya, kira-kira 11.30 malam, Khamis lepas.

“Mangsa menyedari kehilangan keretanya yang telah rosak sebelum membuat laporan pada hari yang sama suspek ditangkap. Polis juga telah menemui trak tunda yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu,” katanya pada sidang media di sini,hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai bersekongkol dengan pemilik kedai barangan terpakai dengan menjual kereta yang ditunda pada harga RM500 dan menerima upah sebanyak RM100 bagi setiap kereta.

Arifai berkata, susulan penahanan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis menjual barangan terpakai di Jalan Sungai Tua, Batu Caves dekat sini dan menahan seorang lelaki disyaki rakan suspek serta menemui kereta mangsa yang dilaporkan hilang.

Katanya, turut ditahan dua lelaki tempatan di sekitar Gombak disyaki terlibat dalam kes berkenaan dan kesemua mereka berusia lingkungan 29 hingga 45 tahun.

Semua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )