PMX harap bantuan Kerajaan Madani ringankan persiapan Aidilfitri

PMX harap bantuan Kerajaan Madani ringankan persiapan Aidilfitri

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap segala ikhtiar menerusi pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat dapat membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna serta memberi kesejahteraan, selaras dengan teras konsep Madani.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata sepanjang Ramadan, khususnya menjelang sambutan hari lebaran tidak lama lagi, Kerajaan Madani mengumumkan beberapa bantuan, pemberian dan inisiatif untuk manfaat rakyat.

“Pertama, Kerajaan Madani telah mengawalkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2. Dengan jumlah penerima hampir sembilan juta rakyat, sebanyak RM1.7 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Madani dengan tarikh pembayaran disalurkan mulai Isnin lalu.

“Kedua, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) untuk penjawat awam Gred 15 ke bawah, di mana mereka telah menerima bayaran khas sebanyak RM500 pada hari ini. BKKA juga disalurkan kepada pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen yang menerima bayaran sebanyak RM250.

“Kerajaan Madani turut memperluaskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada lebih 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut yang menerima sebanyak RM250 bagi menghargai khidmat bakti mereka.

“Bagi meringankan kos perjalanan rakyat yang akan pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kerajaan juga telah mengumumkan diskaun tol 50 peratus untuk pengguna lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga 11.59 malam Sabtu, 29 Mac,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Semalam juga, Tunku Nashrul berkata, Kementerian Komunikasi mengumumkan Insentif Rebat Rahmah bagi pengguna internet.

Jelasnya, ia adalah pemberian tambahan kuota data internet minimum lima gigabait (GB) secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar pada hari pertama Aidilfitri.

“Perdana Menteri berharap semoga segala ikhtiar ini dapat membantu orang ramai membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna serta memberi kesejahteraan buat rakyat, selaras dengan teras Madani,” katanya.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )