PM seru masyarakat beri tumpuan tingkat mutu pendidikan

PM seru masyarakat beri tumpuan tingkat mutu pendidikan

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh masyarakat supaya memberi tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan mengutamakan kekuatan nilai dan akhlak yang baik.

Beliau berkata dengan berpandukan nilai serta akhlak, negara dapat melahirkan insan yang berilmu dan akademis kerana mengamalkan prinsip agama.

“Tidak kurang pentingnya maksud dan matlamat pendidikan itu yang ditekankan Menteri Pendidikan sekarang adalah supaya kembali kepada agama.

“Yang kita mahu tingkatkan itu adalah manusia dengan keyakinan, nilai dan akhlak, kerana percubaan di banyak negara sangat berhasil memupukkan nilai dalam pendidikan,” katanya ketika berucap selepas menonton pementasan teater “Cikgu Anda” di sini malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mahu penguasaan bahasa kebangsaan dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

“Kita juga perlu berusaha untuk meningkatkan disiplin ilmu supaya dapat berlumba dan bersaing (seiring dengan negara lain),” katanya sambil menambah tumpuan itu harus menjadi satu gerakan dan bukannya tertumpu kepada seorang tokoh sahaja.

Terdahulu, beliau menyaksikan pementasan teater berjudul “Cikgu Anda” yang diinspirasikan berkaitan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan.

“Cikgu Anda” diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori Anwar pada Mac 1971.

Ia juga bertujuan menceritakan perjuangan yayasan berkenaan yang membantu keciciran pelajar terutamanya pelajar luar bandar serta kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi.

Naskhah teater itu merupakan terbitan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR).

Menerusi kata aluan dalam buku program persembahan itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan penerbitan teater itu kerana dapat mengangkat naskhah berhubung sejarah penubuhan YAA untuk dipertonton kepada masyarakat.

Beliau berkata YAA diwujudkan atas kesedaran pemimpin belia dan mahasiswa daripada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Malaysia, Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai serta Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai.

“Sebagai satu institusi yang mempunyai falsafah pendidikan yang tersendiri maka semua ativiti digemblengkan ke arah melahirkan seorang insan yang akademis dan bertaqwa.

“Sesuai dengan moto penubuhannya yang berusaha memberi pendidikan di segenap lapisan masyarakat terutama dalam kalangan mereka berpendapatan rendah, maka sudah pasti YAA bertindak dengan mengenakan yuran pengajian paling minimum tetapi mutu pendidikan disediakan sudah teruji keberkesanannya,” katanya.

Teater yang berdurasi sejam setengah itu adalah idea asal Pengerusi PAYAAM Datuk Dr Suhaimi Ibrahim dengan menampilkan barisan pelakon lama dan baharu antaranya Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Abon, Najua P Ramlee, Sarah Fazny dan Eira Sabariah.

“Cikgu Anda” mengetengahkan sekumpulan pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta kurang berkemampuan namun nekad menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di YAA yang antaranya diasaskan oleh Cikgu Anwar yang merupakan tenaga pengajar yayasan itu.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )