PM Puas Hati Pencapaian Kerajaan Perangi Wabak Covid-19

PM Puas Hati Pencapaian Kerajaan Perangi Wabak Covid-19

KUALA LUMPUR,. Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa puas hatinya terhadap pencapaian semasa kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.

Perdana Menteri bagaimanapun mengharapkan masyarakat terus memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menamatkan penularan wabak berkenaan.

“Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi COVID-19 seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya percaya, sekiranya seluruh masyarakat dapat bekerjasama dan mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing, negara kita akhirnya akan berjaya mengakhiri penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkongsi perasaannya itu selepas mendapat maklumat terkini mengenai usaha kerajaan memerangi COVID-19 oleh Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham menerusi sidang video, tengah hari tadi.

Katanya, dalam interaksi selama 40 minit itu, beberapa perkara utama turut dibincangkan, antaranya kempen menggalakkan pemimpin komuniti memperkasa ‘anak buah’ masing-masing untuk mengambil tanggungjawab melindungi dan memelihara komuniti daripada jangkitan COVID-19.

“Saya percaya kempen ini dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi dan akhirnya akan meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Langkah ini juga sangat penting dalam merangka ‘exit plan’ bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang juga kriteria terakhir mesti dipenuhi sebelum ia boleh ditamatkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, mereka turut berbincang mengenai proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disahkan negatif COVID-19.

“Saya mengarahkan supaya proses berkenaan dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan COVID-19 dalam kalangan PATI yang berada di depoh tahanan imigresen,” katanya.

Perdana Menteri turut menafikan beliau kini berada di Singapura bagi menjalani rawatan kesihatan di sana.

“Saya ingin nyatakan dakwaan itu tidak benar sama sekali. Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

“Namun dalam keadaan negara masih berperang melawan wabak COVID-19, saya akan pastikan perbincangan merancang strategi melawan COVID-19 mesti diteruskan,” katanya.- Berita Harian

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )