PM, Jemaah Menteri hadir program Permukiman perkukuh kesepaduan Kerajaan Perpaduan

PM, Jemaah Menteri hadir program Permukiman perkukuh kesepaduan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri semalam menghadiri program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, program yang turut dihadiri 10 pegawai kanan kerajaan itu dilaksanakan bagi memperkukuh serta memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan Jemaah Menteri.

“Selaras dengan hasrat Perdana Menteri dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, program permukiman ini diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Aspek-aspek itu merangkumi struktur kerajaan dan hal ehwal pentadbiran awam; pengurusan kewangan dan perolehan kerajaan; persidangan antarabangsa dan kepentingan negara; protokol kerajaan dan profesionalisme; pembangunan lestari, senario ekonomi dan cabaran serta taklimat berkaitan komunikasi media.

Selain itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut menyampaikan taklimat pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri pada sesi permukiman itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )