PM Ismail Sabri garis rencana utama pembangunan sukan negara

PM Ismail Sabri garis rencana utama pembangunan sukan negara

PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menggariskan landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Di platform perasmian sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, Ismail Sabri melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program Talent Identification and Development (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

Ismail Sabri berkata Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

“Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif.

Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan juga telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan itu yang dianggotai 15 pakar rujuk, terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman, katanya.

Ismail Sabri berkata pelan tindakan itu adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997 serta dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Piagam Olimpik, Agenda Olimpik 2020, Kazan Action Plan dan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Menyedari peri pentingnya pembangunan bakat-bakat sukan bagi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa, Ismail Sabri turut pelancaran program MyTID melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan KBS (MyTID KPM-KBS).

Beliau berkata program MyTID KPM-KBS itu dianggarkan melibatkan seramai 500 guru tenaga penguji terlatih yang dikenali sebagai Talent Eagle dan menyasarkan penyertaan seramai 60,000 murid dari sekolah rendah Tahun Satu hingga Enam yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.

“Program ini dijangka membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia tujuh tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat,” katanya.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata menyedari kepentingan sukan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara, KBS sedang menggubal Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

“Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif ini bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global,” katanya.

Menurutnya, pelan tersebut wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir USD388.3 bilion pada 2020 dan dijangka mencecah USD599 bilion pada 2025.

Data yang diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah.

Turut hadir pada majlis perasmian HSN 2021 itu ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )