PM akan pengerusikan mesyuarat berkala persiapan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025
PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan setiap mesyuarat berkala berkaitan persediaan rapi Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025 dalam mengangkat imej negara di persada dunia.
\
Perkara itu dikongsi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sejurus mesyuarat khas peluncuran kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 selama dua jam di bangunan Perdana Putra di sini hari ini yang dipengerusikan oleh Anwar.
“Kita mengadakan mesyuarat peluncuran awal kerana ingin membuat persiapan yang rapi dan teliti untuk menjadi Pengerusi (ASEAN) nanti.
“Ini bukan kali pertama jadi Pengerusi, kali terakhir ialah pada 10 tahun lepas iaitu pada 2015 tetapi sekarang pada 2025, pelbagai cabaran baharu perlu ditangani dan dipersetujui antara negara-negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Mohamad berkata sebagai persiapan Malaysia untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN, tiga kluster utama diwujudkan iaitu politik, pertahanan dan kewarganegaraan di bawah Kementerian Luar; ekonomi serta perdagangan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala budaya dan sosial di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Beliau berkata kementerian lain akan diletak di bawah pimpinan kluster terbabit dalam merencana dan menjayakan apa jua program atau aktiviti anjuran ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia termasuk aspek tema, reka bentuk logo, logistik dan penginapan untuk pemimpin negara bagi program itu.
Mohamad berkata pada mesyuarat berkala itu kelak, setiap kluster akan membentangkan status gerak kerja masing-masing untuk dinilai sama ada perancangan mengikut jadual atau sebaliknya.
“Semua kementerian sudah tahu peranan masing-masing dan kementerian telah membentangkan apa mereka ingin lakukan.
“Sebanyak lima hingga enam hala tuju diberikan sebagai panduan. Kita ingin melihat gerak kerja itu dilakukan secara bersama dan tidak secara silo,” katanya.
Beliau juga berkata Laos akan menyerahkan baton kepengerusian ASEAN 2025 pada Sidang Kemuncak blok itu yang berlangsung dari 8 hingga 11 Okt ini.
— BERNAMA