PKPP: Rentas negeri, Aidil Adha, aktiviti sukan mula dibenarkan
KUALA LUMPUR,. Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini, merupakan sebahagian daripada strategi keluar daripada usaha membendung penularan Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkannya berkata, antara dibenarkan adalah pergerakan rentas negeri, sambutan Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban dan beberapa pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih meluas.
“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, adalah tanggungjawab utama kita untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” katanya ketika pengumuman khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya hari ini.
Menurut Muhyiddin, aktiviti di luar premis perniagaan seperti lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan dan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem juga dibenarkan sepanjang tempoh PKPP ini berkuatkuasa.
Beliau turut memaklumkan aktiviti beberapa jenis sukan dibenarkan dibuka semula seperti latihan persediaan pasukan dan aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah dan sebagainya.
Malah aktiviti kumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan di bawah PKPP.
Namun begitu tegasnya, pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium masih lagi tidak dibenarkan.
Perdana Menteri secara tegas mengingatkan semua pihak supaya terus mengamalkan langkah pencegahan dan norma kehidupan baharu agar wabak tersebut tidak menular semula.
“Jika saudara saudari semua terus berdisiplin dan beristiqamah, saya percaya insyaAllah penularan wabak ini akan kekal terkawal dan kita akan masuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui.
“Namun, saya ingin ingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan,” tegasnya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenar sepanjang PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, boleh layari laman web Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my – Oleh SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU.