PKPD ke-7: Kawalan keselamatan luar biasa di Selayang Baru

PKPD ke-7: Kawalan keselamatan luar biasa di Selayang Baru

GOMBAK,. PKPD ke 7 Susulan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru, Gombak, Selangor, kawalan keselamatan di enam parcel di bawah PKPD itu lebih ketat berbanding PKPD sebelum ini.

Tinjauan di lokasi sejak petang Sabtu mendapati kawasan yang terlibat telah dipagari kawat berduri dengan ketinggian lebih satu meter.

Ia juga menyaksikan penghadang jalan dan pita penghadang (barricade tape) diletakkan di laluan keluar masuk ke enam parcel berkenaan.

Turut tidak ketinggalan juga kawat berduri di lorong-lorong kecil yang dibimbangi dijadikan “lorong tikus” dapat dibolosi pihak yang mahu ingkar arahan PKPD.

Jalan utama yang menghubungkan kawasan tersebut juga ditutup sepenuhnya dan kawalan keselamatan yang amat ketat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Hanya kenderaan pihak keselamatan dan pihak berkuasa dibenarkan memasuki kawasan tersebut.
Pihak polis juga memaklumkan, pengamal media tidak dibenarkan untuk berada di luar kawasan dan di sekitar kawasan PKPD ke-7 itu.

Dalam pada itu, kakitangan Kementerian Kesihatan difahamkan masuk ke lokasi ini sejurus pengumuman pelaksanaan PKPD dibuat.

Mereka dipercayai dikerahkan untuk proses saringan penduduk warga tempatan dan warga asing yang bekerja serta tinggal di PKPD berkenaan.

PKPD ketujuh ini diumumkan setelah kerajaan mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan COVID-19 di Pasar Harian Selayang dan lokasi PKPD keenam iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur.

PKPD Selayang Baru berkuatkuasa pada 25 April sehingga 3 Mei depan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )