PKP : Polis KL tambah 4 sekatan jalan raya di daerah Dang Wangi dan Brickfields

PKP : Polis KL tambah 4 sekatan jalan raya di daerah Dang Wangi dan Brickfields

KUALA LUMPUR,. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) telah menambah empat sekatan jalan raya di sekitar daerah Dang Wangi dan Brickfields dalam usaha memantapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata dengan penambahan empat sekatan jalan raya itu, sekali gus menjadikan jumlah sekatan jalan raya di ibu negara kepada 56.

Beliau berkata sekatan jalan raya ini dijalankan di bawah Op COVID-19 yang berpandukan Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi memutuskan rantaian wabak ini daripada terus menular.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau sekatan jalan raya di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, dekat sini, malam ini.

Dalam pada itu, seramai 43 individu termasuk 19 warga asing berusia 20 hingga 65 tahun ditahan kerana meningkari arahan PKP sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah pun dituduh manakala sembilan orang telah menerima hukuman,” katanya sambil memberi amaran kepada sesiapa yang ingkar PKP, tindakan tegas akan dikenakan.

Beliau berkata peratusan yang mematuhi arahan PKP ketika ini di Kuala Lumpur telah mencecah 95 peratus dan setakat ini tiada penutupan jalan raya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )