PKP: Perkhidmatan pemasangan, penyelenggaraan internet kini boleh beroperasi di zon hijau

PKP: Perkhidmatan pemasangan, penyelenggaraan internet kini boleh beroperasi di zon hijau

KUALA LUMPUR,. Perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan internet kini dibenarkan beroperasi di premis yang terletak di dalam zon hijau iaitu kawasan yang tiada sebarang kes positif COVID-19.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan malam tadi berkata perkhidmatan itu termasuk kerja pemasangan jalur lebar talian tetap, pembaikan, penyelenggaraan rangkaian dan pemasangan infrastruktur baharu.
“Bagaimanapun, sekiranya premis berkenaan terletak di bawah zon kuning dan merah yakni mempunyai kes positif jangkitan COVID-19, kerja pemasangan jalur lebar talian tetap adalah tidak dibenarkan sama sekali,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja perkhidmatan itu perlu mengambil kira tahap keselamatan pelanggan dan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan.
Kenyataan itu menyebut, bagi kerja-kerja pembaikan, kakitangan syarikat telekomunikasi dan pihak pemasang juga dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan sekiranya kawasan berkenaan adalah di dalam zon hijau.

“Di zon kuning dan merah, mereka hanya boleh menyelesaikan masalah sehingga di pusat pengedaran (distribution point) sahaja.

“Tindakan memasuki premis di zon kuning dan merah hanya dibenarkan untuk premis-premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal sahaja,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pekerja syarikat penyedia perkhidmatan dan pelanggan perlu mengemukakan deklarasi kesihatan mereka terlebih dahulu, sebelum dibenarkan beroperasi.

Pekerja dan pelanggan juga perlu mematuhi garis panduan ketika berinteraksi seperti sentiasa memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Jelasnya, pelanggan yang menetap di kawasan zon kuning dan merah, boleh mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang boleh dilanggan tanpa keperluan pemasangan di rumah, dengan melayari laman sesawang atau menghubungi terus syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej berkenaan.

“Larangan kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di zon kuning dan merah dibuat kerana ia melibatkan kehadiran pihak penyedia perkhidmatan (sekurang-kurangnya dua orang pekerja) yang perlu memasuki kediaman pelanggan bagi menjalankan penilaian teknikal tentang ketersediaan premis pelanggan untuk pemasangan jalur lebar.

“Kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di kawasan zon kuning dan merah amat berisiko dan boleh menyebabkan para pekerja dan pelanggan terdedah kepada jangkitan COVID-19 sekali gus mengancam keselamatan kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )