PKP dilanjut hingga 12 Mei – PM

PKP dilanjut hingga 12 Mei – PM

PUTRAJAYA,. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu sehingga 12 Mei 2020.

Perdana Menteri berkata, langkah itu berikutan berdasarkan data-data yang dibentangkan Kementerian Kesihatan mendapati bahawa usaha-usaha untuk membendung wabak Covid-19 masih perlu diteruskan.

“Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak Covid- 19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Dalam tempoh ini, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya,” kata beliau dalam perutusan khasnya malam ini.

Perdana Menteri turut tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.

“Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung. Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun menyatakan, sekiranya kes-kes Covid- 19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.

Beliau memberitahu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )