PKP beri nafas baharu,alam sekitar Kurang Pencemaran

PKP beri nafas baharu,alam sekitar Kurang Pencemaran

KUALA LUMPUR,. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 bukan sahaja membawa norma baharu dalam kehidupan masyarakat tetapi turut memberi ‘nafas baharu’ kepada alam sekitar.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Nurul Nadrah Aqilah Tukimat, berkata pelaksanaan PKP memberi kesan yang baik secara tidak langsung terhadap kadar pencemaran udara dan pelepasan gas rumah kaca ke sistem iklim global.
Beliau berkata, ia berikutan aktiviti manusia yang menyumbang kepada pembebasan karbon dioksida seperti asap kenderaan dan aktiviti perindustrian yang merupakan penyumbang karbon dioksida kedua tertinggi di Malaysia iaitu 23 peratus dapat dikawal kepada tahap minimum.

Menurutnya, ini terbukti melalui rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang secara purata di bawah tahap sederhana iaitu kurang daripada 60, manakala di Kuantan (Pahang), Tanjung Malim (Perak), Paka (Terengganu), Alor Setar (Kedah), Kangar (Perlis) dan beberapa kawasan di Sarawak mencatatkan IPU di bawah 50 iaitu di tahap baik.
“Penurunan kadar pembebasan gas rumah hijau dalam tempoh PKP ini memberi ruang kepada sistem iklim untuk bernafas dan baik pulih tahap pencemaran sedia ada,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Nurul Nadrah Aqilah turut mengingatkan orang awam supaya menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dalam membantu mengurangkan impak perubahan iklim.

Sementara itu, mengulas mengenai kejernihan air sungai di Lembah Klang selepas PKP, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Dr Mohd Yusoff Ishak, berkata ia menunjukkan ada aktiviti yang menyumbang kepada kekeruhan sungai terhenti semasa PKP.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata antara aktiviti yang berkemungkinan menyumbang ialah kerja pembangunan tanah dan pelepasan sisa basuhan terus ke longkang seterusnya ke sungai.

“Apabila kedua-dua aktiviti ini dihentikan, hasilnya sungai kelihatan lebih bersih,” kata beliau yang turut berpendapat selain daripada kejernihan air, beberapa parameter lain harus diukur bagi mengesahkan laporan bahawa sungai semakin pulih.

Tambah beliau, bagi mengekalkan perubahan baik terhadap alam sekitar, manusia harus terus mengamalkan norma baharu iaitu mengurangkan penggunaan kenderan persendirian, mengelakkan pelepasan terus sisa ke sungai selain menghentikan kacau ganggu terhadap ekosistem seperti hutan yang mengandungi spesies sensitif.

Seorang aktivis alam sekitar, yang juga penggiat seni, Maya Karin ketika dihubungi pula berpendapat cabaran selepas ini adalah untuk mengekalkan kebersihan sungai selepas tempoh PKP.

“Jangan kita terlalu gembira sebaliknya jadikan ini pengajaran buat semua…mungkin kita boleh ingatkan anak-anak misalnya supaya sentiasa menjaga kebersihan sungai dan mengekalkannya sama seperti kita peroleh ketika PKP ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan menurut Global Environment Centre (GEC), jelas dapat dilihat perbezaan yang berlaku khasnya terhadap sungai-sungai di Lembah Klang yang dahulunya berwarna coklat, kini bertukar menjadi jernih.

Antara sungai yang kelihatan jernih sejak pelaksanaan PKP adalah Sungai Gombak, Sungai Way dan Sungai Kemunsing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )