PKP beri implikasi berbeza kepelbagaian modal insan
Oleh Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo
KETIKA dunia dilanda wabak COVID-19 dan kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan, banyak boleh kita pelajari mengenai kekuatan dan kepincangan pentadbiran negara.
Sumber insan yang dianggap kurang penting dalam pengurusan impak COVID-19, diminta duduk dan bekerja dari rumah.
Reaksi mereka bermacam-macam. Ada boleh menyesuaikan diri dengan pantas dan bekerja seperti biasa, namun ramai juga hanya duduk berehat kerana tiada apa dapat dilakukan.
Sebelum ini, ada gerakan memperkenalkan pendekatan bekerja dari rumah bagi mengatasi beberapa isu sosial khususnya bagi wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil.
Bagi sebahagian pekerjaan dan perniagaan persendirian, usaha begini disambut baik.
Namun, bagi kebanyakan sektor lain bekerja dari rumah tidak produktif dan kurang sesuai. Serangan COVID-19 membolehkan kita menilai kembali idea ini dan jika perlu diperkenalkan semula cara manusia bekerja daripada perspektif berstrategi.
Saya melihat konsep modal insan dalam pembangunan negara boleh dibahagikan kepada empat golongan, iaitu modal pemikir aras tinggi (pakar), modal kemahiran aras tinggi (spesialis), gabungan pemikiran serta kemahiran (pentadbiran dan pengurusan) serta berkemahiran rendah dan menggunakan tenaga fizikal (buruh).
Golongan pemikir aras tinggi, iaitu pakar bidang ilmu (ilmuwan), sarjana, intelek yang lazimnya bekerja di institusi pengajian tinggi (IPT) atau pusat penyelidikan. Kelompok ini bukan sahaja ahli sains atau sains kemasyarakatan, tetapi meliputi pelbagai bidang ilmu seperti kejuruteraan, perubatan dan semua bidang teknikal diperlukan dalam pembangunan ilmu.
Mereka pada prinsipnya ialah guru kepada bakal modal insan kemahiran aras tinggi dan kelompok gabungan pemikiran serta kemahiran. Mereka juga penyelidik menjana ilmu dan mempengaruhi pemikiran dalam menentukan hala tuju pembangunan negara.
Kelompok ini perlu bekerja di makmal khas, pusat pengajian (ketika berinteraksi dengan pelajar) dan perpustakaan.
Golongan berkemahiran aras tinggi pula ialah modal insan yang mengasah bakat dalam sesuatu kerja khas hingga berkemahiran melakukan atau menghasilkan sesuatu pada tahap cemerlang atau terbaik.
Mereka berkait rapat dengan urusan doktor pakar, jurutera pereka cipta, ahli seni tersohor, ahli sukan dan pelbagai sektor penghasilan berinovasi.
Kelompok ini perlu mempunyai ruang dan peralatan khas bagi menjalankan urusan. Sebahagian besar inovasi membabitkan ruang khas dengan peralatan canggih, tetapi yang lain pula memerlukan ruang bekerja sederhana dan boleh disediakan di rumah.
Modal insan gabungan membabitkan pengetahuan dan kemahiran terutama pentadbir dan pengurus dalam pelbagai sektor pembangunan negara lazimnya perlu bekerja di pejabat, tapak industri serta perladangan.
Bagi mereka, tanpa ke tempat kerja sebahagian besar tugas tidak dapat dijalankan. Sekiranya mereka diminta duduk di rumah, hanya sebahagian kerja dapat dilakukan di rumah menyebabkan keberkesanan hasilan terhad.
Kelompok keempat bekerja dengan kudrat dan hanya memerlukan kemahiran rendah khususnya pekerja kilang dan perladangan. Duduk di rumah bermakna mereka tidak mampu menjalankan tugasnya.
Tujuan saya menghuraikan kepelbagaian ciri modal insan untuk membangkitkan bahawa semuanya adalah modal insan penting bagi membangun negara.
Kekangan akibat PKP memberi implikasi berbeza antara golongan terbabit. Kerajaan perlu melihat fenomena ini secara serius dan membuat intervensi dasar secara berbeza bagi memanfaatkan kepelbagaian keupayaan.
Dengan memberi perhatian kepada isu keselamatan awam, negara masih boleh mengurus modal insan secara lebih berkesan walaupun berhadapan COVID-19.
Pemikiran pembangunan skim modal insan negara selama ini berpandukan kepada kelulusan akademik.
Walaupun ia bersesuaian untuk golongan pentadbiran dan pengurusan, ia tidak dapat mengatasi kepelbagaian tinggi daripada perspektif kepakaran, kemahiran dan risiko.
Saya syor Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pengurus sumber manusia di agensi swasta serta institusi pendidikan dan kemahiran, melihat kembali kelainan skim pekerjaan daripada pelbagai perspektif, khususnya dalam konteks cabaran sekitaran bekerja, kepakaran dan kemahiran diperlukan, serta kepentingan fungsinya.
Isu bencana, pandemik dan risiko semasa bekerja juga perlu diberikan perhatian tinggi.
Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengerusi Majlis Warisan Negara