Pilihan raya tergempar jalan terbaik selesai isu politik – Mahdzir Khalid

Pilihan raya tergempar jalan terbaik selesai isu politik – Mahdzir Khalid

KUALA NERANG,. Pilihan Raya Umum (PRU) tergempar adalah langkah penyelesaian terbaik terutama dalam meredakan isu-isu politik ketika ini terutamanya berhubung perbezaan jumlah Ahli Parlimen antara kerajaan dan pembangkang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Sekarang ini banyak timbul persoalan, ahli Parlimen kerajaan berapa, ahli Parlimen pembangkang berapa, jadi pilihan raya ini perlu diadakan agar kita dapat satu kerajaan yang solid dari segi sokongan ahli Parlimen.

“Saya sebagai Ahli Parlimen Padang Terap juga memberi sokongan yang penuh kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahdzir turut menyokong kenyataan rakan sejawatnya dalam UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini dilaporkan mencadang agar Parlimen dibubar bagi membolehkan PRU-15 diadakan segera.

Dalam satu temubual dengan akhbar tempatan Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, pilihan raya adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negara dengan memulangkan semula kepada rakyat untuk membuat keputusan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )