PICKids: Pemberian vaksin dibuka lima hari sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan

PICKids: Pemberian vaksin dibuka lima hari sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan

PUTRAJAYA,. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) akan dibuka selama lima hari mulai hari ini sehingga 24 Jun untuk pemberian vaksin kepada kanak-kanak yang berumur lima tahun hingga 11 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pembukaan program vaksinasi itu adalah bersempena Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2022 yang disambut pada 16 Jun lepas, bertemakan “Perlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua”.

“Pembukaan vaskinasi ini adalah bagi meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin COVID-19 bagi anak-anak yang terlepas peluang sebelum ini dan keprihatinan Kementerian Kesihatan (KKM) atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksinasi tersebut boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu di klinik-klinik kesihatan di bawah KKM bermula esok hingga Jumaat.

Beliau berkata pemberian vaksin itu adalah berdasarkan kepada stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari tersebut dan sekiranya stok untuk hari tersebut habis, ibu bapa boleh membawa anak mereka pada keesokan harinya.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi COVID-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak divaksinasi digalakkan mengambil peluang tersebut.

Beliau berkata bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )