Piala Thomas: Malaysia diundi bertemu Jepun

Piala Thomas: Malaysia diundi bertemu Jepun

KUALA LUMPUR,. Malaysia diundi berada dalam satu kumpulan bersama naib juara Piala Thomas 2018, Jepun, pada kejohanan dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Oktober.

Undian yang berlangsung secara maya hari ini memberikan peluang kepada Malaysia untuk menebus kekalahan 2-3 kepada pasukan pilihan kedua itu pada Piala Thomas 2014, selepas kedua-dua pasukan diundi berada dalam Kumpulan D.

Selain Jepun, pasukan Malaysia yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan badminton paling berprestij itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mengatasi England dan Kanada yang juga berada dalam kumpulan yang sama, bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Juara 13 kali dan pilihan utama kejohanan iaitu Indonesia akan mengetuai Kumpulan A bersama Taiwan, Algeria dan Thailand.

Tuan rumah yang diundi dalam Kumpulan B pula akan berhadapan Korea Selatan, Perancis dan Jerman, manakala juara bertahan China tidak akan menghadapi banyak masalah apabila diundi dalam Kumpulan C bersama India, Belanda dan Tahiti.

Bagaimanapun laluan sukar menanti pasukan Piala Uber negara pada peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara 14 kali China, pasukan tuan rumah Denmark dan juga Kanada.

Juara bertahan Jepun pula berada dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Jerman dan Perancis.

Thailand diundi dalam Kumpulan B bersama India, Sepanyol dan Scotland, manakala Kumpulan C terdiri daripada Korea Selatan, Taiwan, Tahiti dan Mesir.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan Piala Thomas dan Piala Uber akan layak ke suku akhir.

Malaysia merangkul Piala Thomas lima kali iaitu pada 1949, 1955, 1967 dan 1992.

Bagaimanapun pasukan wanita negara tidak pernah menjuarai Piala Uber sejak ia dimulakan pada 1957 di England.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)