Piala Malaysia: Mutu pengadilan jadi tumpuan

Piala Malaysia: Mutu pengadilan jadi tumpuan

KUALA LUMPUR,. Barisan pegawai perlawanan tempatan sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mengadili saingan Piala Malaysia 2020 yang dijangka bermula awal November depan, dengan penuh berkesan dan mengelak daripada membuat keputusan yang mengundang kontroversi.

Mutu pengadilan berkualiti secara konsisten menjadi tuntutan dan harapan utama setiap pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan terutama melibatkan perlawanan berprofil tinggi dalam sesuatu kejohanan utama.

Malah, peminat yang masih setia memberikan sokongan kepada aksi bola sepak tempatan turut mengharapkan setiap perlawanan bebas daripada dicemari insiden membabitkan keputusan pengadil yang meragukan.

Mengambil contoh saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini, kesalahan serta kecuaian dalam membuat keputusan melibatkan beberapa aksi berprofil tinggi menyaksikan mutu pengadilan tempatan masih di tahap membimbangkan.

“Dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) ada (pengadil) memang teruk tetapi ramai yang bagus. Ada mempunyai standard sangat tinggi, ada pula perlu diawasi,” kata jurulatih berpengalaman dan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan B Sathianathan.

Sepanjang lebih sedekad membimbing pasukan beraksi di Liga-M, bekas pengendali Selangor, Felda United, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan itu mendakwa hanya beberapa pegawai perlawanan sahaja yang mampu melaksanakan tugas dengan baik sepanjang perlawanan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini barisan pengadil muda berpotensi tidak diketengahkan secara serius selain pengadil yang mendapat panggilan mengadili aksi antarabangsa, diberi peluang dalam kancah saingan tempatan.

“Ada beberapa pengadil saya puji terutama yang muda, ada sudah pun bertugas dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia, jadi takkan mereka tidak boleh diberikan tugas mengadili aksi tempatan.

Beberapa pengadil muda ini mereka dibentuk sejak enam tahun lepas menerusi program mengenal pasti bakat anjuran Jabatan Pengadil FAM dan dalam kumpulan pengadil yang terpilih, tiga daripadanya sekarang memang ada standard tinggi,” kata Sathianathan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengadil FAM baru-baru ini menggantung tugas empat pengadil serta empat lagi diberikan amaran keras berikutan prestasi tidak konsisten mengadili saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sathianathan berkata langkah itu yang bertujuan memberi pengajaran kepada barisan pengadil supaya tidak mengulangi kesilapan sama, bukan alternatif terbaik memandangkan tindakan itu sebelum ini turut gagal dalam memperbaiki kelemahan pengadil.

Sebaliknya, beliau beranggapan pihak pengurusan pasukan perlu memainkan peranan dalam membantu FAM mengatasi isu mutu pengadilan.

Beliau berkata pasukan yang terpalit dengan kontroversi melibatkan keputusan pengadil perlu tampil lebih profesional dengan membuat bantahan rasmi kepada FAM dan bukannya menerusi pihak media semata-mata.

FAM bakal menampilkan 10 muka baharu pegawai perlawanan tempatan pada saingan Piala Malaysia musim ini, yang bermula 6 Nov dengan kesemuanya bakal menggalas tugas sebagai penolong pengadil.

— BERNAMA

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )