Piala FA: TFC tidak berdepan tekanan bertemu JDT

Piala FA: TFC tidak berdepan tekanan bertemu JDT

KUALA LUMPUR,. Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengakui pasukan kendaliannya tidak merasai sebarang tekanan menjelang aksi final Piala FA berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.

Menurutnya, tekanan tersebut yang sepatutnya kian dirasai telah diserap sepenuhnya skuad Penyu dalam perjalanannya ke pentas final sebelum ini dengan berdepan cabaran sengit pencabar lain.

“Saya lebih rasakan tekanan untuk ke final ialah pada pusingan pertama bertemu Negeri Sembilan, selepas itu jumpa Kedah di pusingan kedua diikuti Kuching City dan Selangor jadi bagi saya tekanan (di final) itu tiada sebab apa yang kita sasarkan adalah untuk ke pusingan akhir dan Alhamdulillah kita berjaya.

“Untuk final ini, saya rasa matlamat kita dah tercapai. Apa yang penting saya mahu pemain nikmati perlawanan dan insya-Allah peluang membawa pulang trofi itu ada,” katanya pada sidang media praperlawanan melibatkan kedua-dua pasukan di sini semalam.

Selaku jurulatih, Nafuzi berkata beliau turut mahukan trofi sulung Piala FA buat dirinya.

“Sebagai jurulatih saya rasa lagi bermakna untuk saya dapatkan piala, tambahan pula pada usia muda dan masih belajar. Setiap jurulatih perlukan piala untuk buktikan anda sebagai jurulatih terbaik,” kata jurulatih berusia 43 tahun itu.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata pasukannya tidak akan memandang rendah kemampuan TFC biarpun pernah menewaskan pasukan berkenaan di pentas Liga Super.

“Saya harap perlawanan itu akan menyebelahi kami. Kami gembira dengan prestasi kami dan akan meletakkan semangat yang tinggi dalam permainan selain tidak akan memberi sebarang ruang untuk mereka menyerang,” katanya.

Jurulatih dari Venezuela yang baharu membimbing JDT sejak Julai lepas itu berkata rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super setakat ini, bukan satu alasan buat pasukannya untuk tidak mempamerkan aksi terbaik.

“Kami tidak memikirkan masa lalu dan kami menghormati Terengganu sebagai lawan kami. Kami tahu tentang pasukan ini sejak sekian lama, jadi cara untuk memenangi perlawanan ini ialah melakukan tekanan tinggi dan mengekalkan penguasaan bola,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, polis memaklumkan kira-kira 1,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang perlawanan akhir Piala FA itu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata jumlah tersebut antaranya melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia dan polis trafik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )