Piala Cabaran: PDRM bawa bekalan selesa ke Sarawak, menang 3-0 ke atas Kuching City

Piala Cabaran: PDRM bawa bekalan selesa ke Sarawak, menang 3-0 ke atas Kuching City

PETALING JAYA,. PDRM FC menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Kuching City FC, dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Skuad Sang Saka Biru kendalian Datuk Ahmad Yunus Mohd Alif, jelas menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama dengan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, PDRM menggandakan serangan dan hasilnya mereka berada di depan, selepas Marcus Papee Macauley membuat hantaran lintang ke kawasan kotak penalti Kuching City yang kemudian disempurnakan dengan tandukan Mohamad Nabil Ahmad Latpi, pada minit ke-53.

Selang 15 minit kemudian, Uche Agba memberikan keselesaan buat PDRM selepas rembatan padu di dalam kotak penalti, terbias tangan kiri penjaga gol lawan Wan Muhammad Azraie Wan Teh sebelum bola tersebut memasuki gawang Kuching City.

Kapten pasukan PDRM Amir Saiful Badeli memastikan bekalan selesa untuk perlawanan akhir kedua (timbal balik) pada Ahad ini di Stadium Negeri, Sarawak menerusi gol ketiga pada minit-minit terakhir permainan selepas beliau memanfaatkan kekalutan yang berlaku di hadapan gol pasukan pelawat.

“Kita tak boleh terlalu gembira sebab ada lagi 90 minit perlawanan pada aksi timbal balik. Macam-macam boleh berlaku dan mereka sudah pasti akan berikan sehabis baik di laman mereka nanti,” kata Ahmad Yunus pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kuching City Aidil Sharin Sahak mengakui berdepan cabaran sukar pada aksi timbal balik nanti, namun optimis pasukannya itu mampu melakar kejutan kepada PDRM.

“Satu pencapaian cukup cemerlang untuk sampai ke peringkat akhir ini, apa pun kita akan berikan cabaran terbaik nanti,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )