Piala AFF: Singapura ingin bermain agresif tentang Malaysia – Takayuki

Piala AFF: Singapura ingin bermain agresif tentang Malaysia – Takayuki

KUALA LUMPUR ,. Singapura tidak akan bermain secara bertahan bagi mendapat keputusan seri menentang Malaysia pada aksi penentu Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam esok.

Walaupun skuad ‘The Lions’ hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke saingan separuh akhir, ketua jurulatihnya, Takayuki Nishigaya, berkata mereka akan terus menampilkan corak permainan agresif dalam usaha mencapai keputusan positif.

Menurut jurulatih dari Jepun itu, arahan telah diberikan kepada pemain untuk mengekalkan pendekatan biasa pasukan itu dengan bertahan secara berpasukan selain menanfaatkan peluang ketika melakukan serangan.

“Sudah tentu kami mempunyai kelebihan kerana mengetahui satu mata sudah cukup dan Malaysia perlu menang tetapi itu tidak akan mengubah cara kami bermain.

“Kami menghormati lawan tetapi kami mahu menyerang sebanyak mungkin dan sementara kami menjangkakan Malaysia akan agresif, kami juga mahu melakukan perkara yang sama,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sementara itu, pemain tengah Singapura, K. Anumanthan teruja dengan perlawanan ‘Derbi Seberang Tambak”.

“Kami semua teruja dan sudah bersedia dengan perlawanan besar ini. Tetapi apa yang lebih penting, objektif kami adalah jelas untyuk mengumpul tiga mata dan layak ke separuh akhir,” kata pemain berusia 28 tahun yang pernah beraksi bersama Kedah Darul Aman FC pada saingan Liga Super 2021.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ialah Mac lalu, yang berakhir dengan kemenangan 2-1 untuk Singapura di Stadium Nasional, Singapura, sekali gus memberikan kekalahan pertama Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Selepas Singapura berkongsi satu mata dengan seri tanpa jaringan menentang Vietnam ,Jumaat lalu, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mencatat kemenangan esok untuk layak ke separuh akhir bagi mengelak tersingkir awal untuk edisi kedua berturut-turut.

Singapura, juara empat kali itu, kini mempunyai kelebihan satu mata di tempat kedua manakala Malaysia ketiga dengan enam mata.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Singapura ialah dalam aksi Kumpulan B Piala AFF 2014 dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Singapura, sekali gus mara ke separuh akhir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )